Sunday, August 30, 2009

Bawang Putih Bawang Merah...

Bawang putih naik RM6 sekilo di Kedah

BALING 28 Ogos - Terkejut dengan harga bawang putih yang dijual dengan harga RM6 sekilo? Itulah yang berlaku di beberapa daerah di Kedah apabila harga bawang itu secara tiba-tiba melambung tinggi.

Tinjauan Bernama di daerah Baling dan Sik mendapati bawang putih dijual dengan harga RM5 dan RM6 sekilogram (kg) berbanding RM2 harga asalnya.

Pemborong di pekan Baling, Abdul Razak Abdullah, 38, berkata, pembekal telah menaikkan harga bawang putih kepada RM24 bagi beg 6kg.

"Sebelum ini kami membelinya dengan harga RM6 dalam beg 6kg itu dan kami pun terpaksalah menjual dengan harga yang mahal," katanya,

''Pembekal cuma memberikan alasan harga bawang putih telah naik,'' katanya yang juga merupakan pembekal bawang putih kepada peniaga pasar malam di daerah Baling.

Seorang penjual bawang di Sik, Abdul Ghutus Mohd. Bukhari berkata, kenaikan harga bawang putih itu mungkin berpunca akibat permintaan yang tinggi ekoran ia dipercayai dapat mengelak jangkitan influenza A (H1N1).

"Saya yakin pembekal bawang putih mengambil kesempatan menaikkan harga bawang putih sejak akhir-akhir ini berikutan ramai orang memakannya bagi mengelak jangkitan selesema H1N1," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Datuk Yusuff Ismail berkata, pihaknya masih belum menerima aduan rasmi pengguna mengenai kenaikan harga bawang putih itu.

"Kenaikan harga sehingga mencecah RM6 bagi sekilogram adalah sangat tidak patut dan dilihat sebagai menekan pengguna," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu di IPOH, Persatuan Pengguna Perak (PCA) meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak melakukan pemeriksaan di pasar raya dan kedai-kedai runcit ekoran dakwaan harga bawang putih mengalami kenaikan di Perak.

Setiausaha PCA, R. Suguna berkata, pengawasan perlu bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan sewenang-wenangnya terutama menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Sripekan....seminggu sebelum ramadhan harga bawang putih di Pasir Putih ialah RM4 sekilo...tapi mak mentua sripekan masih menjual dengan harga RM2 sekilo kerana dia kata dia beli masa bawang masih belum naik harga...sripekan tak beli dengan mak kerana kalau beli dengan dia alamatnya dapat free....


No comments: