Monday, November 5, 2007

Sindiket janji laba RM10,000 sehari

Oleh Mary Victoria Dass maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Sebuah sindiket yang mendakwa kononnya mempunyai rangkaian perniagaan bersama lebih 10 bank tempatan dan antarabangsa semakin berani menawarkan pelaburan secara bebas kepada orang ramai dengan menjanjikan ‘gaji hari-hari’ mencecah RM1,000 hingga RM10,000, sejak kebelakangan ini.
Sindiket yang beroperasi di sebuah pejabat di Petaling Jaya, Selangor itu cuba meraih keyakinan pelbagai lapisan penduduk termasuk warga bandar raya ini dengan mendakwa sistem pelaburan yang ditawarkan itu sudah memperoleh kelulusan kerajaan dan mendapat sokongan bank tempatan.
Pelaburan ditawarkan sindiket itu difahamkan menerima sambutan ramai kerana mereka bukan saja melakukan promosi menerusi risalah diedarkan, malah ejen dilantik di seluruh negara giat memperkenalkan sistem pelaburan itu yang dikatakan mudah dan lebih terjamin.

Seorang penduduk di Damansara Aliff, Adib Abu Bakar, 45, berkata risalah mengenai peluang perniagaan ditawarkan sindiket berkenaan kini diedarkan secara berleluasa bukan saja ke premis perniagaan, malah ke kawasan kediaman di sekitar bandar raya ini.
Beliau berkata, maklumat di risalah berbentuk wang kertas RM100 mampu mengelirukan orang ramai apabila mendakwa perniagaan yang dijalankan itu sudah memperoleh kelulusan kerajaan Malaysia selain disokong bank terkemuka tempatan.

Menurutnya, bagi menarik perhatian ramai, sindiket berkenaan memujuk orang ramai dengan alasan pembabitan dalam perniagaan itu memudahkan seseorang individu mencapai impian masing-masing termasuk melangsaikan hutang, membantu keluarga, berkahwin, menambah simpanan selain bagi menjalani kehidupan lebih selesa.“Saya terkejut apabila melihat risalah berbentuk wang kertas RM100 yang diedarkan ke kedai kami, semalam.“Tidak dinafikan risalah itu mampu mempengaruhi seseorang apabila tertarik dengan tawaran pendapatan lumayan harian mahupun bulanan mencecah ribuan sehingga ratusan ribu ringgit,” katanya.

Adib berkata, dia yang tertarik dengan tawaran itu menghubungi nombor telefon bimbit di risalah berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.Beliau berkata, seorang lelaki yang menjawab panggilannya mendakwa sebagai ejen syarikat berkenaan sebelum meminta beberapa butirannya termasuk nama, tempat tinggal dan nombor telefon.Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa syarikatnya menawarkan peluang pelaburan yang membolehkan seseorang menjana pendapatan harian lumayan atau ‘gaji hari-hari’ mencecah RM1,000 sehingga RM10,000.

Katanya, lelaki itu mendakwa syarikatnya yang menawarkan sistem pelaburan sejak lebih lima tahun lalu dengan kerjasama bank tempatan dan antarabangsa kini terbuka kepada semua golongan sama ada profesional mahupun tidak.“Tambahan pula, ejen itu mendakwa pelaburan minimum yang boleh dilakukan RM500 dan ia tidak bermakna pulangan seseorang itu bergantung kepada pelaburan berkenaan, sebaliknya boleh menambah pendapatan dengan mengumpul lebih ramai pelabur di kalangan kenalan masing-masing.“Sekiranya seseorang itu mengumpul lebih ramai ‘downline’, bermakna dia boleh memperoleh lebih banyak pendapatan apabila ditawarkan komisyen 10 peratus daripada pelaburan dilakukan itu. “Saya menghubungi Bank Negara bagi mendapatkan maklumat mengenai pelaburan ditawarkan itu dan terkejut apabila dimaklumkan sistem pelaburan seumpama itu tidak digalakkan dan kemungkinan besar mempunyai unsur penipuan,” katanya.


note: tiada jalan pintas untuk berjaya,berusahalah mendapatkan rezeki yang halal.

No comments: